Healthy Blog

RENTAS NEGERI: UJIAN SARINGAN TIDAK WAJIB, TAPI DIGALAKKAN - PM ISMAIL SABRI

RENTAS NEGERI: UJIAN SARINGAN TIDAK WAJIB, TAPI DIGALAKKAN – PM ISMAIL SABRI

PUTRAJAYA, 10 Okt — Ujian pengesanan kendiri COVID-19 tidak diwajibkan untuk kebenaran merentas negeri yang mula berkuat kuasa esok namun digalakkan demi keselamatan ahli keluarga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata melakukan ujian saringan kendiri itu menjadi sebahagian daripada tangggungjawab seseorang individu untuk melindungi ahli keluarga serta golongan berisiko.

“Terutama yang balik kampung, saringan sama ada PCR ataupun RTK, saya tak kata wajib tapi digalakkan untuk memastikan keluarga di kampung selamat, kita check dulu diri kita.

“Walaupun tak wajib ia satu tindakan melindungi keluarga, apa salahnya kita buat untuk melindungi ahli keluarga di kampung,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan platform media sosial petang ini.

Terdahulu, beliau mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan belum menetapkan tempoh spesifik bagi menentukan tarikh peralihan fasa pandemik kepada endemik bagi COVID-19.

“KKM (Kementerian Kesihatan) akan bersama-sama untuk menyediakan SOP seterusnya untuk kita beralih ke fasa endemik, mungkin SOP semakin dikurangkan, bagaimanapun ia tetap penting untuk melatih masyarakat hidup bersama COVID-19,” katanya.

Bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik berjalan lancar dan selamat, beliau berkata rakyat kini memikul tanggungjawab yang besar untuk mejayakan usaha tersebut.

Katanya antara langkah harus dilaksanakan adalah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri termasuk melaksanakan TRIIS iaitu ‘test, report, isolate, inform and seek’ atau ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera.

— BERNAMA

CADANGAN PENUBUHAN INSTITUT GENOM DAN VAKSIN NEGARA TEPAT PADA MASANYA - PENYELIDIK

CADANGAN PENUBUHAN INSTITUT GENOM DAN VAKSIN NEGARA TEPAT PADA MASANYA – PENYELIDIK

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Cadangan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Negara adalah tepat pada masanya memandangkan negara kini mempunyai penyelidik pakar dalam bidang itu yang bersedia menyumbang kepakaran dan tenaga untuk menghadapi cabaran pandemik.

Universiti Putra Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata tiga penyelidik vaksin COVID-19 dari universiti itu Prof Datin Paduka Dr Khatijah Yusoff, Prof Datuk Dr Mohd Hair Bejo dan Prof Madya Dr Eddie Chia Suet Lin mengalu-alukan cadangan itu dan memaklumkan ramai pakar penyelidik vaksin negara ini dikenali di seluruh dunia.

“Dengan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Negara, diharap ia boleh menjadi Pusat Kecemerlangan dalam bidang vaksin bagi mencetuskan kerjasama yang lebih berkesan antara penyelidik dari universiti, institut penyelidikan, swasta dan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut para penyelidik itu juga menyifatkan pembangunan vaksin COVID-19 di negara ini sebagai contoh yang sangat baik, hasil kerjasama penyelidik dari universiti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dengan institut di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Usaha penghasilan vaksin COVID-19 buatan Malaysia ini juga akan melibatkan pihak swasta dengan kepakaran dalam penghasilan vaksin yang mematuhi peraturan dan regulasi ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Terdahulu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye turut mengalu-alukan langkah yang diambil Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Datuk Dr Adham Baba untuk membentangkan cadangan kepada Perdana Menteri supaya satu institusi ditubuhkan di negara kita untuk menghasilkan vaksin COVID-19 buat Malaysia yang dinamakan sebagai Institut Genom dan Vaksin Malaysia.

Pada Ahad, Dr Adham memaklumkan (dalam temu bual eksklusif bersama TV3) mengenai penubuhan institut itu yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

— BERNAMA

VAKSIN PFIZER DIBERI KELULUSAN BERSYARAT SEBAGAI DOS PENGGALAK - KP KESIHATAN

VAKSIN PFIZER DIBERI KELULUSAN BERSYARAT SEBAGAI DOS PENGGALAK – KP KESIHATAN

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) diberi kelulusan bersyarat sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos kedua bagi golongan berumur 18 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu diluluskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-365 hari ini.

“Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun lepas.

“Ini merupakan vaksin COVID-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa, bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif.

“KKM sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya.

— BERNAMA

IBU BAPA TIDAK PERLU BIMBANG SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 KEPADA PELAJAR

IBU BAPA TIDAK PERLU BIMBANG SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 KEPADA PELAJAR

Sumber: Bernama

BAGAN SERAI, 25 Sept – Ibu bapa tidak perlu bimbang kesan sampingan vaksin yang diberikan kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata setakat ini vaksin jenis Pfizer-BioNTech yang dberikan kepada remaja tidak mempunyai kesan sampingan yang besar.

“Jangan bimbang, risiko kerana suntikan vaksin amat rendah keberangkaliannya dan kebaikan vaksin adalah jauh lebih baik daripada terkena COVID-19 malah kes itu tidak dilaporkan di negara inI.

Kajian di luar negara ke atas golongan muda yang terkena radang otot jantung dan radang selaput luar jantung mendapati peratusnya adalah sangat rendah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir (Sabar) di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya menyasarkan 60 peratus pelajar menerima suntikan sehingga November ini dan 80 peratus sebelum akhir Disember tahun ini.

Mengikut statistik, beliau berkata jumlah pelajar di negara ini adalah seramai 2.5 juta orang dan 681,853 daripadanya telah menerima suntikan dos pertama manakala 108,935 telah melengkapkan vaksinasi mereka sejak 20 Sept hingga semalam.

“Ini bermakna 26.9 peratus sudah menerima suntikan sejak dilancarkan sehingga semalam dan 4.3 peratus telah lengkap divaksin,” katanya.

Beliau berkata peratusan pelajar yang mendapat suntikan mengikut negeri tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 76.7 peratus dos pertama dan 6.4 peratus dos kedua, Sabah dos pertama 65.3 peratus dan 7.2 peratus dos kedua manakala Sarawak 37.7 peratus dos pertama dan 6.9 peratus dos kedua.

Katanya Perlis telah mencapai 33.3 peratus dos pertama dan 4.6 peratus dos kedua, Pahang dengan 30.7 peratus untuk dos pertama dan 3.4 peratus telah menerima dos kedua manakala Perak dengan jumlah pelajar seramai 53,770 atau 26.5 peratus telah menerima suntikan dos pertama dan 7,633 orang atau 3.8 peratus dos kedua.

Sementara itu, Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik cadangan untuk meminta pihak MySejahtera mengaktifkan bunyi penggera secara berulang-ulang selepas lebih 30 minit mendaftar masuk bagi memberi peringatan kepada pengguna aplikasi itu untuk mendaftar keluar.

Beliau berkata cadangan itu merupakan satu pandangan yang baik kerana ramai pengguna yang terlupa berbuat demikian selepas mendaftar masuk.

— BERNAMA

AMBIL VAKSIN COVID-19 YANGGUNGJAWAB HIDUP BERMASYARAKAT - AHMAD MARZUK

AMBIL VAKSIN COVID-19 YANGGUNGJAWAB HIDUP BERMASYARAKAT – AHMAD MARZUK

Sumber: Bernama

KOTA BHARU, 3 Okt — Pengambilan suntikan vaksin COVID-19 merupakan tanggungjawab hidup bermasyarakat dalam kehidupan bersosial memandangkan majoriti rakyat di negara ini telah divaksinasi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata suntikan vaksin bukan sahaja untuk mencapai imuniti kelompok tetapi juga bagi mengurangkan mereka yang dijangkiti terdedah dengan risiko kematian.

“Apa yang dilakukan kerajaan amat positif walaupun (masih) ada kemungkinan akan dijangkiti COVID-19 (selepas) menerima suntikan vaksin tetapi tidak membawa kepada kematian atau (keadaan yang) serius,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Pengkalan Chepa hari ini.

Ahmad Marzuk berkata di peringkat Jabatan Agama, Muzakarah Fatwa Kebangsaan juga telah menilai bahawa vaksin yang diberikan kepada rakyat adalah selamat dan halal.

Beliau berkata beberapa gerakan antivaksin telah mempengaruhi sebahagian besar masyarakat khususnya di luar bandar yang mempercayai maklumat disebarkan antaranya melalui aplikasi WhatsApp.

“Untuk menggalakkan individu yang tidak mahu mengambil vaksin COVID-19, kerajaan perlu meneruskan kempen termasuk memberi penjelasan berfakta dan kajian yang benar mengenai vaksin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa takut dengan vaksin, agenda Yahudi, vaksin berbahaya dan mengalami masalah kesihatan telah menyebabkan lebih 27,000 individu dewasa di Kelantan enggan menerima vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin pula berkata daripada jumlah itu, lebih 9,000 individu mengisytiharkan bahawa mereka langsung tidak mahu divaksin.

— BERNAMA

PICK: VAKSINASI POPULASI DEWASA NEGARA CAPAI 80 PERATUS

PICK: VAKSINASI POPULASI DEWASA NEGARA CAPAI 80 PERATUS

Sumber: Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Sept — Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencapai sasaran awal apabila 80 peratus populasi dewasa di Malaysia telah lengkap vaksinasi hari ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter rasminya.

“Tahniah! Malaysia mencapai 80 peratus populasi dewasa negara telah lengkap vaksinasi. Teruskan usaha kita perangi COVID-19,” katanya yang turut menyertakan tanda pagar #LindungDiriLindungSemua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas untuk memberikan vaksin kepada orang ramai dalam usaha membendung penularan COVID-19 di seluruh negara.

Di Facebook rasminya pula, Ismail Sabri menyifatkan kejayaan itu adalah hasil pengorbanan para petugas barisan hadapan dan sokongan seluruh Keluarga Malaysia.

“Hasil pengorbanan para petugas barisan hadapan dan sokongan jitu seluruh Keluarga Malaysia dalam mendapatkan vaksin, tidak mengira tua atau muda, baik yang di kota, juga yang di desa, kadar vaksinasi (dewasa) negara akhirnya telah mencapai 80 peratus populasi.

“Tahniah, ini adalah kejayaan kita semua!” katanya.

Sementara itu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang turut berkongsi perkara sama menerusi ciapan di Twitter rasminya berkata sasaran berkenaan dicapai pada pukul 1 tengah hari ini.

“Pada pukul 1 tengah hari ini, Malaysia telah mencapai sasaran 80 peratus penduduk dewasa lengkap menerima vaksin.

“Walaupun sasaran awal adalah 80 peratus populasi dewasa, sekarang @JKJAVMY (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19) akan berusaha untuk menjejaki 20 peratus lagi yang belum atau enggan divaksinasi,” katanya.

— BERNAMA

REMAJA KOMORBIDITI BERISIKO HADAPI KESAN COVID-19 LEBIH SERIUS - PAKAR

REMAJA KOMORBIDITI BERISIKO HADAPI KESAN COVID-19 LEBIH SERIUS – PAKAR

Sumber: Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Sept — Remaja yang mempunyai sejarah masalah kesihatan atau yang memiliki komorbiditi perlu diutamakan dalam pemberian vaksinasi COVID-19 kerana golongan ini berisiko tinggi mendapat implikasi yang lebih serius akibat jangkitan virus itu.

Pakar kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff berkata terdapat laporan dari seluruh dunia mengenai kanak-kanak dan remaja yang mengalami kesan teruk apabila dijangkiti COVID-19, termasuk beberapa kes kematian.

“Kebanyakan mereka sudah mempunyai penyakit kronik yang mendedahkan mereka kepada keadaan yang serius serta lebih cenderung mendapat komplikasi disebabkan COVID-19, termasuklah risiko dijangkiti penyakit yang jarang berlaku tetapi sangat serius, iaitu Sindrom Keradangan Mutilsistem pada kanak-kanak (MISC) ,” katanya semasa sesi taklimat ringkas kepada media tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan PICK Remaja, secara dalam talian, hari ini.

Bagaimanapun, katanya majoriti remaja yang dijangkiti virus itu tidak mengalami gejala atau bergejala ringan yang boleh sembuh sendiri.

“Terkini, dilaporkan kadar kanak-kanak dan remaja yang dijangkiti COVID-19 telah meningkat, justeru keputusan untuk memberi vaksin kepada golongan ini adalah tepat pada masanya dan mesti dipercepatkan,” kata Dr Nik Khairulddin.

Sehingga 21 Sept lepas, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat trend peningkatan jangkitan COVID-19 terhadap kanak-kanak (individu berumur 18 tahun ke bawah) di Malaysia, iaitu daripada 12,620 kes yang dicatatkan tahun lepas melonjak ke 410,762 kes tahun ini, manakala 75 kes kematian COVID-19 kanak-kanak dilaporkan tahun ini berbanding hanya enam kematian tahun lepas.

Program PICK Remaja bermula secara rasmi Isnin lepas dan menyasarkan vaksinasi COVID-19 kepada 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebelum pembukaan sekolah bulan depan.

— BERNAMA

COVID: KES SEMBUH DI MALAYSIA KINI MELEBIHI 2 JUTA

COVID: KES SEMBUH DI MALAYSIA KINI MELEBIHI 2 JUTA

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Jumlah keseluruhan kes sembuh COVID-19 yang direkodkan kini adalah sebanyak 2,005,942 kes sejak pandemik ini melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini memaklumkan daripada angka itu, sebanyak 16,430 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas.

“Bagi kes baharu, sebanyak 1.9 peratus atau 205 kes daripada 10,959 kes baharu COVID-19 dilaporkan bagi tempoh 24 jam lepas terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

“Baki 98.1 peratus atau 10,754 kes pula adalah terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua, bergejala ringan,” katanya.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada jumlah kes baharu, 12 adalah kes import melibatkan dua warga tempatan dan 10 bukan warganegara manakala 10,947 kes pula melibatkan penularan dalam negara iaitu 10,150 warganegara dan 797 rakyat asing.

Beliau berkata terdapat 980 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 862 yang disahkan positif COVID-19 manakala 118 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, sebanyak 579 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 378 disahkan positif COVID-19 manakala 201 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham memaklumkan 19 kluster baharu dikesan dengan sembilan daripadanya berkaitan tempat kerja, lapan kluster membabitkan penularan dalam komuniti serta masing-masing satu melibatkan kluster pusat tahanan dan kluster kumpulan berisiko tinggi.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes harian semalam untuk seluruh negara ialah 0.92 manakala Pahang mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.02.

“Semua negeri lain mencatatkan Rt di bawah 1.0 iaitu Perak dan Putrajaya masing-masing 0.98, diikuti Kelantan dan Perlis masing-masing 0.97, Terengganu (0.96), Johor (0.94), Sarawak dan Melaka masing-msing 0.92, Pulau Pinang (0.90), Selangor (0.89), Sabah dan Negeri Sembilan masing-masing 0.87, Kedah serta Kuala Lumpur masing-masing 0.85 manakala Labuan (sifar),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam ini.

— BERNAMA

33 KEMATIAN AKIBAT KERACUNAN METANOL PADA SEPTEMBER

33 KEMATIAN AKIBAT KERACUNAN METANOL PADA SEPTEMBER

Sumber: Bernama

PUTRAJAYA, 1 Okt — Sebanyak 33 kematian akibat keracunan metanol direkodkan sejak 9 Sept lepas hingga semalam, daripada 55 kes keracunan metanol yang dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 33 kematian itu, 18 kes atau 55 peratus melibatkan warganegara manakala 15 kes atau 45 peratus melibatkan bukan warganegara yang terdiri daripada warganegara Myanmar, India dan Nepal.

Kes keracunan metanol itu dilaporkan di tujuh negeri iaitu Selangor dengan 25 kes, Perak (13), Pahang (lima), Pulau Pinang (enam), Kuala Lumpur (empat) manakala Johor dan Negeri Sembilan masing-masing satu kes, katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 55 kes itu, 15 orang masih menerima rawatan manakala tujuh telah discaj dari hospital.

Beliau berkata keracunan metanol berlaku apabila minuman beralkohol mengandungi metanol dalam dos yang toksik akibat proses distilasi minuman beralkohol yang tidak sempurna atau metanol dicampur ke dalam minuman beralkohol sebelum diminum.

Menurut Dr Noor Hisham, keracunan metanol kebiasaannya dikaitkan dengan minuman beralkohol yang dikilang secara tidak sah kerana metanol dicampurkan ke dalam minuman tersebut sebagai pengganti etanol kerana metanol secara relatifnya lebih murah berbanding etanol.

Beliau berkata gejala keracunan metanol adalah seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala dan kabur penglihatan dalam tempoh lima hari pengambilan minuman beralkohol.

Orang awam dinasihatkan segera membawa individu yang mempunyai gejala keracunan metanol ke mana-mana klinik atau hospital terdekat bagi mendapatkan rawatan kecemasan, katanya.

— BERNAMA

KANSER KEKAL PUNCA KEMATIAN UTAMA DI KOREA SELATAN

KANSER KEKAL PUNCA KEMATIAN UTAMA DI KOREA SELATAN

Sumber: Bernama

SEOUL, 28 Sept — Kanser kekal penyebab utama kematian di Korea Selatan, dengan angka korban mencecah tahap tertinggi tahun lalu, menurut laporan dikeluarkan kerajaan pada Selasa.

Pada 2020, sebanyak 304,948 kematian dilaporkan meningkat 3.3 peratus dari tahun sebelumnya. Ia menandakan jumlah tahunan tertinggi sejak Statistik Korea mula mengumpulkan data pada 1983, lapor Agensi Berita Yonhap.

Agensi perangkaan itu memaklumkan tahun lalu, sejumlah 593.9 kematian dilaporkan bagi setiap 100,000 warga Korea Selatan.

Turut dilaporkan 160.1 per 100,000 orang meninggal dunia akibat kanser tahun lalu. Barah menjadi penyebab kematian nombor satu di negara ini sejak pengumpulan data dibuat.

Penyakit jantung pula punca kematian kedua terbesar dengan 63 kematian per 100,000 orang, diikuti radang paru-paru dengan 43.3 kematian.

Tahun lalu, 950 orang maut akibat COVID-19, menyumbang 0.3 peratus kematian.

Sepuluh penyebab utama kematian lain termasuk penyakit serebrovaskular, bunuh diri, diabetes dan penyakit Alzheimer.

Penyakit Alzheimer berada di 10 teratas pada 2018 untuk pertama kalinya sejak 1983. Di antara 10 punca utama kematian itu, penyakit jantung, radang paru-paru dan Alzheimer menunjukkan peningkatan, menurut agensi statistik itu.

Laporan itu mendapati bunuh diri tetap menjadi faktor utama kematian bagi penduduk berusia antara 10 hingga 39 tahun pada 2020.

Bunuh diri adalah penyebab kematian kedua terbesar bagi mereka berusia 40-an dan 50-an.

Sebanyak 13,195 orang membunuh diri pada 2020, turun 4.4 peratus dari 2019. Purata kematian akibat bunuh diri setiap hari ialah 36.1.

Kadar bunuh diri bagi setiap 100,000 orang mencecah 23.5 pada 2020, jauh lebih tinggi berbanding purata 10.9 di antara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), pertubuhan dianggotai 36 negara yang kebanyakannya kaya dan maju.

— BERNAMA